Wednesday, April 9, 2008
Salah satu umpan yang digemari oleh pemancing adalah udang dan ia boleh digunakan secara seekor atau secara hirisan mahu pun hidup atau yang sudah mati. umpan udang adalah yang paling saya gemari sekali pabila digunakan sebagai umpan kerana udang adalah makanan utama ikan di laut,muara dan di sungai . Boleh di kata kesemua ikan suka memakan umpan ini.
Cara menyimpan Umpan
Terdapat banyak jenis Udang yang dijumpai di pengairan negara kita dan boleh dikatakan kesemua jenis boleh digunakan dari jenis udang sungai, udang pisang , udang harimau, udang galah dan lain lagi. Bagi penggunaan udang kita haruslah menyimpannya dengan baik kerana udang yang busuk atau rosak tidak akan menarik minat ikan untuk memakannya. Selalulah menggunakan udang yang segar dan baik. Apa bila membeli udang tentukan ia segar dan kepala udang tersebut tidak senang tercabut, sekiranya kepalanya senang tercabut apabila kita mengangkatnya melalui misainya, udang tersebut tidak segar lagi.
Cara untuk menyimpan udang supaya ia akan selalu segar adalah untuk membungkus nya dengan kertas beberapa ekor sebungkus dan menanamnya ke dalam ais yang dihancurkan. (buried in crushed ice) Sekiranya boleh, lebih baik udang dibekukan terlebih dahulu. Tentukan setiap bungkusan hanya terdapat antara 5-10 ekor sahaja. Dengan membuat begini kita akan hanya mengeluarkan sebungkus sekali dan ini tidak akan membazirkan yang lain .
Sekiranya bot yang anda menaiki itu mempunyai tempat menyimpan umpan hidup (life bait well) maka bolehlah anda menyimpan udang hidup di dalamnya.. Anda perlu menentukan bahawa terdapat air yang mengalir selalu di dalamnya serta minyak tidak masuk ke dalam tempat menyimpan udang tersebut. Sekiranya bot anda tidak mempunyai tempat menyimpan udang tersebut maka anda boleh menyimpannya di dalam kotak dengan memasukkan air masin dan tentukan anda masukkan oksigen melalui pam kecil yang anda boleh beli dari kedai akuarium . Untuk perjalanan yang jauh masukkan ais sebesar dua penumbuk dalam plastik dan ikatkannya , kemudian masukkan ais ini ke dalam air bersama udang hidup tersebut. Tukarkan air setelah 6 jam supaya air tidak akan masam.
Cara Mencangkuk Umpan
Udang Hidup
Terdapat beberapa cara untuk mencangkuk udang tersebut, apa yang penting adalah cara kita mencangkuknya perlu mengambil kira beberapa faktor iaitu :
a. Mata kail
Kail memainkan peranan yang amat penting semasa mengguna umpan udang hidup kerana sekira kail itu terlalu besar dan berat maka ia akan membunuh umpan tersebut. Anda perlulah menyesuaikan kail dengan udang. Bagi saya mata kail bersaiz antara 22 hingga 1/0 adalah yang paling sesuai sekali terutama yang diperbuat daripada aloi (alloy) atau "carbon steel" kerana kail yang diperbuat daripada jenis ini adalah sangat ringan.
b. Jenis perambut
Jenis perambut yang digunakan juga memainkan peranan yang penting kerana ia akan menentukan sekiranya umpan dapat bergerak secara semula jadi (natural) serta apa jenis kail yang perlu digunakan. Sekiranya "wire leader" digunakan cubalah menggunakan yang paling halus sekali. Bagi saya , "wire leader" yang saya selalu gunakan adalah dari jenis 10 paun hingga 20 paun sahaja. Dan sekiranya saya tidak menggunakan "wire Leader" saya menggunakan "mono leader" antara 20 paun hingga 40 paun dengan kail dari jenis "kirby" yang mempunyai mata yang mendongak ke tepi (off set point).
Selepas kita mengkaji faktor di atas maka terdapat beberapa cara untuk mencangkuk umpan udang yang hidup. Pada amnya, sekira kita perhatikan udang yang hendak digunakan, di belakang udang tersebut mempunyai garisan, ini adalah saraf belakang dan kita sepatutnya tidak mencangkuk mata kail di sini kerana ia akan membunuh udang tersebut.
|
Masukkan mata kail di sebelah saraf tersebut dan cangkuk keluar kail tersebut melalui sisi (side) yang berlawan (opposite). |
|
Kita boleh juga mencangkuk udang tersebut pada kepala melalui kulit kepala di leher udang tersebut dan cangkuk keluar kail melalui mata udang tersebut.. |
Bagi umpan udang lipan (Mantis Prawn) yang pula terdapat beberapa tempat di mana kita boleh mencangkuk kail. Udang lipan yang hidup adalah yang terbaik sekali untuk memancing ikan dari jenis ikan Merah, ikan Jenak dan Kerapu. Walau bagaimana pun hanya umpan hidup sahaja yang boleh di gunakan. |
|
Bagi umpan yang segar atau mati pula maka kita boleh menggunakan kaedah di atas atau mencangkuk melalui ekor ke badan udang tersebut atau beberapa ekor sekali sekiranya ia kecil. Udang yang mati mengeluarkan bau yang menarik perhatian ikan dari jenis yang mempunyai misai atau sesungut (barbell) seperti ikan keli,semilang,baung,duri dan lain- lain.
Saya berharap apa yang dikemukakan di atas sedikit sebanyak dapat membantu anda dalam cara menggunakan umpan udang dengan jayanya. Ingat ikan pun cerawat juga, kalau umpan itu tidak segar atau penyampaian yang kita berikan tidak menarik nescaya ikan yang kita idamkan tidak akan makan umpan kita. Jaga lah umpan dengan baik dan saya percaya anda pasti akan berjaya mendapat ikan idaman anda. Jumpa lagi pada minggu hadapan di mana kita akan berbincang tentang umpan yang lain pula.
1 comments:
Nice post. Thanks for a very god tips!
Post a Comment